Wednesday, September 9, 2009

Kursus Refleksologi

Kursus Refleksologi
di Cawangan Kuala Terengganu
pada hari sabtu 12/9/09 dari jam 8.00 pagi- 4.00 ptg..
Yuran RM 30 (sijil disediakan)..
penceramah PJS Abdullah bin Abdul Rahim
Daftar Segera Di Cawangan HPA K.Terengganu
@berminat..hubungi di talian 0199012301 @ 0199844310

Wednesday, September 2, 2009

Panduan Umrah – 06 – Mahram Bagi Wanita

Mahram bagi wanita terdiri dari tiga iaitu (1) melalui nasab keturunan (hubungan kerabat), (2) melalui perkahwinan (hubungan persemendaan), dan (3) melalui hubungan penyusuan.


1. Mahram melalui nasab keturunan (hubungan kerabat)

Mahram dari sudut nasab adalah yang disebutkan oleh Allah Ta’ala di dalam surah An-Nur ayat 31:

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau anak-anak lelaki mereka, atau anak-anak lelaki suami mereka, atau adik beradik lelaki mereka, atau anak lelaki kepada adik beradik lelaki (anak buah lelaki) mereka, atau anak lelaki saudara perempuan mereka (anak buah lelaki), atau wanita-wanita di kalangan mereka, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita."

Menurut ayat ini, susunan bagi mahram kerana nasab bagi wanita ialah:

a) Bapa, termasuk datuk sebelah bapa, datuk sebelah ibu dan semua asal keturunannya ke atas, contohnya moyang dll. Adapun bapa angkat, maka dia bukan mahram berdasarkan firman Allah Ta’ala:

“...Dan Allah tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu …. ”[Al-Ahzab: 4]

b) Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki dan anak perempuan dan keturunan mereka. Mereka dinamakan jurai (اﻟْﻓُﺮُوْعُ) keturunan seseorang. Adapun anak angkat, maka dia tidak termasuk mahram berdasarkan keterangan di atas.

c) Adik-beradik lelaki seibu-sebapa, se-ibu atau se-bapa (adik beradik tiri).

d) Anak saudara lelaki daripada adik beradik lelaki sama ada seibu-sebapa, seibu atau sebapa (adik beradik tiri)

e) Anak saudara lelaki daripada adik beradik perempuan sama ada seibu-sebapa, seibu, atau sebapa.

f) Bapa saudara sebelah bapa, iaitu adik beradik lelaki bapa, datuk saudara sebelah bapa. Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah bapa.

g) Bapa saudara sebelah ibu, iaitu adik beradik lelaki ibu, datuk saudara sebelah ibu. Mereka merupakan jurai keturunan datuk nenek sebelah ibu.

Jadi perlu diketahui bahawa sepupu tidaklah dikira sebagai mahram.


2. Mahram Kerana Hubungan Perkahwinan (Persemendaan)

a) Suami

b) Bapa mentua

c) Anak tiri lelaki (anak suami dari isteri lain)

d) Bapa tiri kalau sudah berjima’ dengan ibu

e) Menantu lelaki (suami anak perempuan kandung)


3. Mahram Kerana Hubungan Penyusuan (Saudara Susuan)

Penyusuan yang menjadikan seseorang itu mahram ialah sebanyak lima kali penyusuan sampai kenyang, dan kanak-kanak tersebut berumur kurang daripada dua tahun qamariah.

Dalil mahram dari hubungan penyusuan ialah ayat al-Quran surah an-Nisa', ayat 23.

“ … Juga ibu-ibumu yang menyusui kamu serta saudara perempuan sepersusuan …”

Dan juga hadis Rasulullah s.a.w.

Dari Abdullah Ibnu Abbas r.a. berkata; Rasulullah s.a.w. bersabda : “Diharamkan daripada penyusuan apa-apa yang diharamkan daripada nasab.” [HR Bukhari].

Jadi mahram sebab hubungan penyusuan ialah:

a) Bapa susuan (suami ibu susuan), termasuk datuk susuan iaitu bapa kepada bapa susuan atau bapa kepada ibu susuan, juga bapa-bapa mereka ke atas. Ibu susuan ialah perempuan yang telah menyusukan anak orang lain.

b) Anak lelaki susuan.

c) Adik beradik lelaki sesusuan, iaitu lelaki lain yang menyusu dengan ibu kita, atau kita menyusu dengan ibunya, atau kita dengan lelaki yang lain sama-sama menyusu dengan seorang perempuan.

“Kita” di sini merujuk kepada seorang wanita yang menjadi bahan perbincangan.

d) Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki susuan.

e) Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan susuan.

f) Bapa saudara susuan sebelah bapa, iaitu lelaki yang menjadi adik-beradik susuan kepada bapa.

g) Bapa saudara susuan sebelah ibu, iaitu lelaki yang yang menjadi adik-beradik susuan kepada ibu.

http://msaadhamid.blogspot.com/2010/03/panduan-menunaikan-umrah-06-mahram-bagi.html